Friday, February 19, 2010

ULASAN JURNAL

ULASAN JURNAL :

PELAKSANAAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN SENI DI PERINGKAT SEKOLAH MENENGAH

LATAR BELAKANG

Artikel ini merupakan satu Kajian Pelaksanaan Pendidikan Seni Di Sekolah-Sekolah Menengah. Pasukan penyelidik terdiri daripada Dr. Amir bin Salleh, Mahiran binti Abu Amin, Ramli bin Yusof, Wong Kwai Cheng dan Omar bin Bahrin. Kajian ini merupakan himpunan jurnal yang diterbitkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha memperbanyakkan penulisan-penulisan berbentuk artikel dan laporan penyelidikan kepada masyarakat umum.

ISU

Pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Seni sama ada di peringkat sekolah rendah maupun sekolah menengah sememangnya menjadi persoalan yang masih belum dihuraikan secara sempurna. Mata pelajaran Seni masih menjadi mata pelajaran picisan khasnya bagi sesetengah ibubapa pelajar maupun dalam kalangan pengurusan sekolah sendiri. Bagi pelajar, mata pelajaran Pendidikan Seni dianggap masa santai (berseronok) meskipun sememangnya guru mengajar dan menyediakan aktiviti sepatutnya kepada mereka. Sementara bagi pihak pengurusan sekolah subjek ini lebih cenderung diberikan kepada pelajar kelas tercorot iaitu 4C, 4D, 4E, dan 4F. Kelas aliran sains akan dihalang mengambil mata pelajaran Seni begitu juga aliran sastera dari tingkatan 4B dan 4C dengan alasan tidak memberi faedah kepada kemerlangan keputusan mereka peringkat di SPM.

TUJUAN

Menyedari fenomena ini yang akan menimbulkan kesan buruk khasnya kepada mata pelajaran Pendidikan Seni dan perkembangan pendidikan di negara ini maka pihak yang bertanggungjawab seperti Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Kementerian Pelajaran Malaysia menjalankan kajian bagi melihat sejauhmanakah pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Seni di peringkat sekolah menengah menepati isi kandungan pelajaran seperti yang disediakan dalam kurikulumnya. Dalam kajian ini pungutan data daripada guru dan pelajar yang berkaitan dengan empat aspek pengajaran dan pembelajaran P&P mata pelajaran Seni iaitu:

a. pelaksanaan isi kandungan kurikulum mata pelajaran Pendidikan Seni

b. pelaksanaan aktiviti-aktiviti P&P Pendidikan Seni

c. perbincangan tentang penilaian ke atas karya seni dengan pelajar dalam proses P & P

Pendidikan Seni, dan

d. perbincangan tentang kepentingan Pendidikan Seni dengan pelajar dalam proses P&P

Pendidikan Seni

KAEDAH KAJIAN

Kajian survey secara cross-sectional ke atas SM Berasrama Penuh, SM Teknik dan SMK Agama yakni melibatkan Pengetua, Penolong Kanan I, ketua bidang, guru dan pelajar. Sebanyak 479 daripada 675 Soalselidik Pentadbir, 427 daripada 556 Soal Selidik Guru dan 909 daripada 1,200 soalselidik Pelajar yang dihantar telah dikembalikan kepada kumpulan penyelidik. Kajian ini juga telah menggunakan tiga set soal selidik iaitu Soal Selidik A (Guru), Soal Selidik B (Pengetua, Penolong Kanan, Penyelia Petang dan Ketua Bidang), dan Soal Selidik C (Pelajar). Di samping itu senarai semak temubual telah digunakan untuk pungutan data melalui temubual.

KESIMPULAN

Kajian ini telah merungkaikan fenomena yang sebenarnya berlaku dalam sistem pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni di negara kita. Didapati tidak semua aspek Pendidikan Seni dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Dengan data-data yang telah diperolehi hasil daripada kajian maka suatu usaha dan langkah-langkah berkesan wajar diberikan perhatian oleh semua pihak yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan kurikulum Pendidikan Seni di semua peringkat dalam Kementerian Pelajaran.

REFLEKSI

Kajian pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Seni Di peringkat sekolah menengah yang telah menjelaskan kepada kita bahawa betapa pelaksanaannya perlu dilakukan secara serius yang mana pelaksanaannya haruslah berusaha menepati isi kandungan seperti yang terkandung dalam kurikulumnya. Meskipun kajian ini telah dijalankan sepuluh tahun yang lepas namun data-datanya masih boleh diperakui dan dapat menjelaskan bahawa fenomena yakni isu sejauhmana pelaksanaan mata pelajaran mata pelajaran Pendidikan Seni di peringkat sekolah menengah menepati isi kandungan pelajaran seperti yang disusun dalam kurikulumnya tidak akan dapat dilaksanakan secara optimum. Hal ini kerana mentaliti ataupun paradigma masyarakat kita yang masih beranggapan mata pelajaran Pendidikan Seni sebagai mata pelajaran yang kurang penting dan hanya diajar kepada pelajar-pelajar yang lemah sahaja. Namun begitu kita sebagai individu atau pihak yang berada di dalam dunia pendidikan seni yang tidak menginginkan kekaburan atau “wrong perception” masyarakat luar terhadap bidang ini haruslah mengembleng tenaga bersama-sama secara optimum agar masyarakat tidak terus memandang serong terhadap pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Seni dalam kalangan anak-anak mereka. Kajian haruslah dijalankan dari semasa ke semasa agar input yang diperolehi dapat dijadikan suatu formula bagi memastikan semua pihak khasnya pihak guru dan pelajar menepati isi kandungan pelajaran mata pelajaran Pendidikan Seni seperti yang terkandung dalam kurikulumnya.

No comments:

Post a Comment